Saya paparkan kepada kalian buku yang bertajuk `Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini' yang membincangkan beberapa realiti yang sedang kita hadapi di dalam kehidupan hari ini sebagai pemegang amanah Islam di atas muka bumi ini. Kita merupakan tunggak kepada masyarakat dan negara. Apabila generasi kita rosak, maka akan rosaklah masyarakat dan negara kita. Oleh itu kita dapat lihat melalui suasana sekeliling dan juga melalui buku yang saya bentangkan ini bahawa musuh-musuh Islam sentiasa menumpukan perhatian dan serangan mereka terhadap golongan peringkat kita ini.
Saudara-saudariku di dalam Islam,
Semenjak kita berada di pusat asuhan kanak-kanak sehingga menjejakkan kaki ke menara gading, kita sentiasa di suntik dengan racun-racun yang berbisa oleh musuh-musuh Islam samada dari dalam atau luar negeri. Kita sentiasa didedahkan dengan perlakuan Barat dan kita digalakkan supaya bergerak bersama arus kebaratan yang telah merosakkan akidah dan juga akhlak perlakuan umat Islam. Kita sentiasa disuapkan dengan dasar-dasar pelajaRan, ideologi-ideologi dan juga kemajuan yang sedang dinikmati oleh Barat .
Tidak hairanlah wahai saudara-saudariku, jika kita lihat sebahagian besar daripada lapisan para pemuda dan pemudi terjunam ke lembah kerosakan dan ketandusan akhlak yang mulia, selain daripada kekontangan akidah Islam yang menjamin kebahagian di dunia dan akhirat. Mereka lari daripada cara hidup Islam. Bahkan yang lebih menyedihkan lagi, mereka mengeji dan memperolok-olokkan cara hidup Islam dan orang yang beramal dengannya.
Kita tidak menyalahkan nereka seratus-peratus. Ini adalah kerana kadang-kadang mereka
yang rosak itu disebabkan ketiadaan orang yang membimbing mereka ke jalan Islam yang
sebenar. Mereka hanya mengenali Islam ketika di bilik-bilik darjah semasa di alam
persekolahan dahulu.
Karangan Abdullah Nasih Ulwan